Harimau Malaya Naik Lagi Mata Ranking FIFA. Pasukan Harimau Malaya bakal naik lagi mata rangking FIFA dengan memperoleh 14.75 mata setelah berjaya memnewaskan Turkmenistan malam tadi dengan jaringan 1-3 pada aksi kelayakan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Kemenangan itu menyaksikan Malaysia hanya memerlukan empat lagi mata daripada misi tujuh mata yang dilancarkan pengendalinya, Kim Pan Gon dalam misi mara ke pentas Asia tahun depan.
Tepat dengan julukan ‘Harimau Malaya’, skuad kebangsaan bermula garang dengan tidak membenarkan Turkmenistan memegang bola dan menguji gawang pelawat seawal minit keempat menerusi Safawi Rasid yang ditepis Orazmuhammedov Mammet.
Gawang Turkmenistan hanya bertahan 10 minit selepas tampanan Orazmuhammedov yang cuba menepis hantaran Arif Aiman Hanapi tiba di kaki Safawi yang mudah meledak ke gawang untuk gol pembukaan negara.
Malaysia hampir menambah jaringan pada minit ke-14 namun kuisan Darren Lok di depan mulut gol tersasar sebelum kesilapan pertahanan Turkmenistan dihukum Faisal Halim yang menyumbat masuk gol kedua Malaysia seminit berselang.
Kesilapan Shahrul Saad pada minit ke-37 memberikan talian hayat buat Turkmenistan apabila tandukan ke belakang Dion Cools yang cuba menyelamatkan bola tidak sempat ditangkap Farizal Marlias dan pantas disambar Annadurdyyev Altymyrat untuk mengubah kedudukan kepada 2-1.
Memasuki penghujung babak pertama, Malaysia tampak bermain dalam tekanan selepas Turkmenistan lebih banyak mengasak namun La Vere Corbin Ong mengembalikan kelebihan dua gol buat Malaysia sebelum tamat separuh masa.
Bersambung babak kedua, Malaysia sekali lagi nyaris ‘belanja’ satu lagi gol buat Turkmenistan pada minit ke-61 apabila hantaran Farizal dipintas pemain lawan namun percubaan leret Amanov Arslan tidak mendatangkan sebarang masalah buat penjaga gol itu.
Malaysia ‘menjemput’ Turkmenistan untuk merencana gerakan apabila mula mengendurkan asakan dan beberapa percubaan Turkmenistan bukan setakat mencemaskan barisan pemain negara malah juga penyokong di stadium serta di rumah.
Tiada tambahan gol dapat disaksikan sepanjang separuh masa kedua namun Turkmenistan kehilangan seorang pemain selepas Bashimov Abdy dilayangkan kad kuning kedua kerana mengasari Mohamadou Sumareh di hujung permainan. – Berita Harian
Baca: Rakyat Bakal Dibenar Tanam Pokok Ganja Tanpa Had