Peminat Ejen Ali sudah pasti ternanti-nantikan tarikh tayangan untuk musim 3 yang telah diumumkan pada tahun lepas. Nampaknya anda semua tidak perlu tunggu lama lagi, kerana Ejen Ali musim 3 akan ditayangkan pada 25 Jun ini di Disney+ Hotstar. Setelah hampir setengah tahun menanti, akhirnya dapat juga tarikh rasmi untuk tayangan musim terbaru itu.
Ejen Ali Musim 3 ini akan memberikan penonton kesinambunagan Ali dan rakan-rakan ketika mereka menghadapi lebih banyak misi berbahaya. Melihat daripada teaser yang dikeluarkan beberapa bulan lalu, nampaknya kita dapat berjumpa dengan pelbagai watak baru nanti. Apapun, kita nantikan sahaja tayangan episod satu nanti di Disney+ Hotstar.
Untuk pengetahuan anda, Ejen Ali merupakan sebuah siri animasi Malaysia yang diterbitkan oleh Primeworks Studios bersama WAU Animation dan ditayangkan secara perdana di TV3 mulai 8 April 2016. Kisahnya mengenai “seorang murid sekolah rendah bernama Ali yang tanpa sengaja melibatkan dirinya dalam dunia perisikan. Semuanya bermula apabila Dos seorang ejen jahat yang cuba mencuri sebuah alat berteknologi tinggi yang mampu mengubah dunia iaitu I.R.I.S (Infinity Retinal Intelligence System) yang dicuri daripada pusat latihan M.A.T.A (Meta Advance Tactical Agency).”
Selain itu, terdapat juga Webtoon rasmi oleh WAU Animation bertajuk, Ejen Ali : M.A.T.A Secret Files. Webtoon itu menceritakan kisah yang berlaku di antara episod daripada siri tersebut. Jadi, bolehlah anda mengetahui lebih mendalam tentang apa yang berlaku di Cyberaya dan M.A.T.A. Anda juga akan lebih mengenali watak-watak yang muncul dalam siri itu dengan lebih terperinci.
Anda hanya perlu sabar sedikit sahaja lagi untuk menonton sambungan siri Ejen Ali. Kalau anda ingin dapatkan liputan lain mengenai siri ini daripada kami, sila klik pautan ini.
Sumber: Disney+ Hotstar Malaysia
Baca: AWAS ! Orang Dewasa Juga Boleh Dijangkiti HMFD