Crackhouse Comedy ‘diserang’ dengan simbahan cat merah. Crackhouse Comedy Club di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di sini, disimbah cat berwarna merah dan hitam dalam kejadian awal pagi tadi.
Sumber berkata, kejadian itu disedari selepas pihak polis menerima panggilan berhubung insiden berkenaan daripada orang awam kira-kira jam 7 pagi tadi.
“Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira jam 4 pagi tadi apabila dua individu tidak dikenali menyimbah premis berkenaan dengan cat berwarna merah dan hitam.
“Cat itu disimbah pada papan tanda serta pintu masuk ke kelab komedi berkenaan. Simbahan cat itu juga mengenai sebuah premis yang terletak bersebelahan kelab komedi terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.
Terdahulu, tular video 54 saat menunjukkan seorang wanita tampil berpakaian sopan dalam satu majlis di sebuah kelab di TTDI, di sini.
Dalam video berkenaan, wanita itu mendakwa dirinya beragama Islam serta menghafal 15 juzuk al-Quran sebelum secara tiba-tiba menanggalkan baju kurung serta tudungnya hingga mendedahkan aurat.
Sebelum ini, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menyatakan sedang menyiasat kejadian video tular itu.
Pada 13 Julai lalu, media melaporkan Siti Nuramira Abdullah, 26, mengaku tidak bersalah mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menimbulkan rasa tidak harmoni dalam kalangan masyarakat Islam ketika melakukan persembahan di kelab komedi berkenaan pada 4 Jun lalu. – HMetro
Terpotong keseluruhan zakar ketika berkhatan, pemuda ini fail ganti rugi RM3.1 juta