Minyak Masak Paket Dikesan Diseludup Pemandu Warga Asing – Terdapat pemandu kereta warga asing dikesan cuba menyeludup minyak masak peket satu kilogram (kg) secara kecil-kecilan menggunakan kenderaan persendirian dari Malaysia ke negara jiran.
Abd Rahman Abd Aziz yang Menangung Tugas-Tugas (MTT) Pengarah Kastam Kedah berkata, modus operandi menyeludup minyak masak peket secara kecil-kecilan itu bagaimanapun berjaya dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Abd Rahman memberitahu, minyak masak peket tanpa sebarang permit itu diletakkan bersama barang-barang lain dalam but kereta untuk mengaburi pandangan pegawai kastam yang bertugas.
“Bagaimanapun, Cawangan Pemeriksaan Penumpang JDKM Bukit Kayu Hitam berjaya menggagalkan beberapa kes cubaan menyeludup minyak masak peket ke negara jiran itu sejak 1 Julai lepas.
“Setakat ini, jumlah minyak masak peket yang telah berjaya dirampas adalah sebanyak 54 pek,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau menegaskan minyak masak diklasifikasikan sebagai dagangan larangan eksport di bawah Butiran 3, Jadual Kedua, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2017.
“Ia memerlukan permit daripada Lembaga Minyak Sawit malaysia (MPOB) dan Jadual Kedua Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Eksport) (Pindaan) 2022 yang berkuatkuasa pada 9 Julai 2022,”katanya.
Sehubungan itu, Abd Rahman berkata, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.
SUMBER : SINARHARIAN
Tonton Mat Kilau PERCUMA, terhad 2,000 kekosongan sahaja
RUU Perlindungan Perkahwinan Songsang Diluluskan di Parlimen, 267 wakil rakyat sokong