Pak Nil Menyifatkan Bekas Pemberita TV Itu Seorang Yang Suka Berahsia – Datuk Aznil Nawawi menyifatkan temannya, bekas personaliti TV3, Zalina Azman yang dilaporkan hilang sejak November tahun lalu, sebagai individu yang cukup berahsia termasuk berkaitan perkembangan semasa dirinya.
Mengaku sudah lama tidak bertemu Zalina atau mesra disapa Zal, Aznil terkejut dengan berita kehilangan temannya itu, apatah lagi, masing-masing sudah lama tidak berhubung dan bertanya khabar.
“Zal sangat perahsia orangnya sejak dahulu lagi termasuk dalam soal keadaan semasa dirinya.
“Kalau sesama kami (bekas kakitangan TV3) anjurkan majlis pertemuan semula (reunion), Zal memang memilih untuk tidak hadir,” katanya kepada BH Online.
Malam tadi, BH Online melaporkan, polis giat mencari Zalina atau nama sebenar, Zalina Shaharah Azman atau lebih dikenali sebagai Zalina Azman yang dilaporkan hilang sejak November tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan daripada anak lelaki Zalina, Mikhael Norman, 33 berhubung kehilangannya pada 29 November tahun lalu.
Zalina, 58, dilaporkan hilang ketika Mikhael cuba menghubunginya sejak 24 November 2021 bagi memaklumkan datuk pengadu telah dimasukkan ke hospital, namun wanita itu tidak dapat dihubungi.
Aznil berkata, Zalina juga tidak ada dalam kumpulan sembang WhatsApp yang disertai bekas personaliti TV3.
“Zal tiada dalam kumpulan WhatsApp itu. Tetapi kami mendoakan agar Zal selamat dan sejahtera,” katanya.
Mengenang Zalina ketika TV3 beroperasi di Jalan Liku, Bangsar, di sini, pada era 1990-an, Aznil mengaku temannya itu antara pembaca berita yang diminati.
“Pada era itu, TV3 mempunyai ramai personaliti dan pembaca berita terbaik. Zal adalah salah seorangnya.
“Pesona Zal tiada galang ganti di mana mampu membuatkan ramai terpegun untuk menonton saluran berita terutama dalam bahasa Inggeris.
“Siapa yang mampu menidakkan keupayaannya membaca berita dalam bahasa Inggeris dengan baik? Malah, program terbitan TV3, Money Matters cukup sinonim dengannya,” katanya.
Aznil atau mesra disapa Pak Nil mengaku komitmen tugas menyebabkan dia dan Zalina terputus hubungan.
“Sudah lama kami tidak bertanya khabar dengan kesibukan masing-masing. Alih-alih, dapat berita begini. Setahun Zal hilang tanpa khabar berita… Tempoh itu agak lama.
“Musykil Zal keluar rumah dengan meninggalkan barang kepunyaan antaranya kereta, kad pengenalan dan lesen memandu seperti dibaca dalam laporan berita.
“Malah, keadaan rumahnya juga dilaporkan tidak tersusun,” katanya.
Aznil tidak dapat membayangkan apa yang berlaku kepada sahabatnya itu.
“Saya hanya mampu berharap dan mendoakan yang baik-baik untuk Zal dan keluarga.
“Kita yang memerhati dan berada di luar kelompok keluarga Zal mungkin tidak tahu apa sebenarnya yang terjadi. Semoga ada pengakhiran yang baik untuk kerisauan ini.
“Hanya satu doa dan pinta saya, semoga Zal dalam keadaan baik dan selamat,” katanya.
SUMBER : BERITAHARIAN
Baca : Bekas Pembaca Berita TV Masih Hilang Sejak November Tahun Lepas
[Video] Api marak dan asap tebal, penumpang terperangkap setelah kereta api berhenti di kawasan kebakaran
Suspek Bunuh Isteri Dan Anak Terpinga-pinga Ketika Didakwa, Perlu Jalani Pemeriksaan Mental