Baru dua hari Najib Razak ‘check-in’ penjara, hari ini dah kena ‘check-out’..Datuk Seri Najib Tun Razak, yang kini menjalani hukuman penjara kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta, dijangka hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bagi perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Memetik laporan Bernama, mahkamah telah mengeluarkan perintah kepada pihak penjara supaya bekas perdana menteri berusia 69 tahun itu menghadiri prosiding hari ini (Khamis) di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Prosedur biasa dalam kes sedemikian adalah untuk mahkamah mengeluarkan perintah kepada pihak penjara bagi membolehkan banduan hadir pada perbicaraannya bagi kesalahan lain atau sebagai saksi.
Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.
Terdahulu pada Selasa, Najib dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International berjumlah RM42 juta.
Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.
Pada 8 Dis 2021, Najib gagal mengetepikan keputusan itu selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.- BERNAMA
Baca: Tun M beri ‘hint’ kerjasama dengan Pakatan Harapan dalam PRU15