Kisah Malaysia - Koleksi Viral Terkini Tentang Malaysia     ...

Gagal kemukakan bukti baharu Najib bakal buka pintu penjara untuk diri sendiri

NASIBNAJIB

Gagal kemukakan bukti baharu Najib bakal buka pintu penjara untuk diri sendiri. TINDAKAN Najib Razak bermain pelbagai taktik penangguhan kes ibarat menggali kubur sendiri. Sebelum ini dia kerap kali mengatakan dia tidak bersalah dan mengatakan duit SRC yang dicuri sebanyak RM42 juta adalah derma putera Arab, tetapi apabila sampai ke peringkat rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan, semua hujah ini tidak lagi diperjuangkan.

nasibnajib

Apa yang diperjuangkan adalah membina persepsi kononnya mahkamah tidak adil, sedangkan dakwaan berkaitan prosiding rayuan itu bersifat prosedural. Ia bukan bersifat substantif kes membuktikan dia tidak bersalah.

Dalam perkara memohon penangguhan, penarikan diri peguam dan permohonan kemasukan bukti baharu adalah perkara prosedural yang mana mahkamah mempunyai budi bicara penuh.

Budi bicara yang dilaksanakan oleh Mahkamah Persekutuan telah dibuat dengan adil berdasarkan prinsip kehakiman (judiciously) dan tiada perkara pelik atau luar biasa yang boleh dianggap Najib dinafikan keadilan.

nasibnajib

Mahkamah dalam mempertimbangkan sesuatu penangguhan akan melihat kepada imbangan keadilan (balance of justice) dan melengahkan prosiding sesuatu kes terkeluar dari ‘ambit’ keadilan (justice delayed is justice denied).

Manakala penolakan penarikan diri peguam di saat akhir setelah semua dokumen lengkap adalah amalan biasa di mahkamah kerana menjadi prinsip peguam untuk bersedia dan sanggup (willing and able) mengendalikan kes.

Jika peguam datang ke mahkamah dengan alasan tidak bersedia, maka tidak seharusnya peguam bersetuju mengendalikan kes. Ini adalah salah satu peraturan etika (etiquette rules) peguam.

Berkaitan permohonan mengemukakan bukti baharu, ia dipandu oleh dukuan kes Mahkamah Rayuan England R v Parks (1961) 3 All ER 633 (kes Parks) yang telah menggariskan 4 ujian (test) keterangan baru iaitu:

  • bukti tersebut mesti tidak tersedia ketika kes di bicara awal
  • bukti tersebut mesti relevan dengan isu
  • bukti tersebut mesti kredibel
  • bukti tersebut boleh mengubah keputusan sabitan kesalahan
  • Jelas, bukti baharu yang ingin dikemukakan Najib tidak memenuhi ujian ini.

    Kes Najib adalah kes pecah amanah dan sumber wang itu tidak relevan. Isu yang relevan adalah perbuatan pecah amanah atau curi tersebut.

    nasibnajib

    Najib sebelum ini memang didapati mengetahui duit itu adalah duit KWAP yang merupakan dana awam, sedangkan pembelaan derma putera Arab pula tidak dibuktikan wujud.

    Jadi, dapatan mahkamah oleh Hakim Nazlan Ghazali tentang kesalahan pecah amanah itu tidak ada kena mengena dengan kedudukan beliau di Maybank sebelum ini.

    Peranan Hakim Nazlan sebagai General Counsel Maybank ketika SRC ditubuhkan adalah setakat penubuhannya yang tidak melanggari mana-mana peruntukan undang-undang.

    Sebaliknya, kesalahan pecah amanah terhadap dana SRC adalah selepas penubuhan SRC yang Hakim Nazlan mahupun keseluruhan Lembaga Pengarah Maybank tiada kawalan mahupun peranan di dalam perbuatan pecah amanah tersebut.

    Sebagai contoh, kereta yang digunakan untuk merompak tidaklah menjadi salah kerana yang salah adalah perbuatan merompak itu. Begitulah juga, sumber duit SRC dari KWAP bukanlah salah, tetapi yang salah itu adalah mencuri duit KWAP dalam SRC itu.

    Sebab itu, keterangan berkaitan pekerjaan Hakim Nazlan tidak relevan dan tidak boleh menjadi alasan untuk membebaskan Najib.

    Oleh itu, di mana berlakunya ketidakadilan? Walhal, semua peluang untuk membela diri telah diberikan, tetapi ditolak oleh mahkamah. Maka, siapakah yang tidak adil, mahkamah atau Najib?

    Hakikatnya, prinsip ‘justice must not only be done but must be seen to be done’ telah dipatuhi institusi kehakiman.

    Sepatutnya, Najib mengarahkan peguam untuk meneruskan hujah atas merit rayuan. Tetapi yang berlaku di Mahkamah Persekutuan minggu lalu, amat mengejutkan apabila pemimpin dan cybertrooper Umno menyerang institusi kehakiman.

    Adakah Najib sedar peluangnya untuk mengubah sabitan kesalahan beliau yang diputuskan Hakim Nazlan adalah sangat sukar?

    Ironinya, apa perlu serangan terhadap Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, jika Najib yakin seperti sebelum ini dia tidak bersalah. Berani kerana benar, takut kerana salah.

    Serangan-serangan yang dibuat pemimpin utama Umno termasuk presidennya Zahid Hamidi dan Ketua Pemuda Asyraf Wajdi terhadap institusi kehakiman seolah-olah UMNO sudah hilang arah seperti cacing kepanasan.

    Naratif yang dibina oleh pemimpin-pemimpin Umno ini seolah-olah mahkamah menolak bukti tanpa mengetahui bukti baharu yang ingin dikemukakan adalah satu fitnah kepada mahkamah dan boleh menjurus kepada satu penghinaan mahkamah (contempt of court).

    Adalah satu tohmahan besar menuduh Mahkamah Persekutuan tidak mahu mengetahui bukti baharu yang ingin dikemukakan. Ini kerana Mahkamah Persekutuan memutuskan bukti baharu tersebut tidak memenuhi keperluan undang-undang atau ujian di dalam kes Parks.

    Sepatutnya pihak polis menyiasat pemimpin-pemimpin Umno kerana menghina dan merendahkan kredibiliti dan digniti Mahkamah Persekutuan dan institusi kehakiman.

    Cukup, cukuplah menyerang institusi kehakiman terutama Ketua Hakim Negara yang menjadi tunjang integriti dan sistem keadilan negara.

    Menyalahkan dan menyerang kehakiman menunjukkan sikap ‘cavalier’ Umno yang tidak menjunjung prinsip integriti, good governance dan keadilan. Bagi mereka, Umno mengatasi undang-undang.

    Kata-kata mantan PM UK Benjamin Disraeli ‘justice is truth in action’ sangat relevan dengan Najib dan Umno.

    Sumpah laknat (mubahalah) yang dibuat Najib semalam tiada apa-apa nilai keterangan di mahkamah. Malah, sumpah laknat ini juga tiada dalam perundangan Islam.

    Najib sepatutnya memperjuangkan pembelaan kesnya di mahkamah, bukan pentas agama untuk mengaburi kes korupsi dia.

    nasibnajib
    Faiz Fadzil, ahli Jawatankuasa Pusat Amanah

    Faiz Fadzil, ahli Jawatankuasa Pusat Amanah – The Malaysian Insight

    Baca: Najib akan dipenjara 12 tahun ? Nasib Najib ditentukan hari ini

    Bergaduh sampai mati di Pulau Pinang, warga Bangladesh jadi dalang

    Kecoh ! Ahli bergaduh tak puas hati tak dapat jadi calon PRU

    Share This Story

    Berita Berkaitan