Hati-hati mandi di Pulau Pangkor. Kanak-kanak lelaki warga Perancis meninggal dunia selepas terkena sengatan obor-obor ketika mandi di pantai Teluk Nipah, Pulau Pangkor dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 6.45 petang, mangsa berusia lima tahun itu dipercayai disengat obor-obor di perut, tangan kiri dan kaki kiri.
Mangsa disahkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Klinik Kesihatan Pangkor.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pada jam 7.28 malam pihaknya dihubungi petugas klinik, memberitahu kanak-kanak lelaki meninggal dunia dipercayai terkena sengatan obor-obor.
“Sejurus menerima laporan itu, Timbalan Ketua Polis Balai Pangkor bersama anggotanya ke Wad Kecemasan klinik terbabit untuk tindakan lanjut.
“Pemeriksaan pada badan mangsa mendapati ada kesan lilitan dipercayai sengatan obor-obor pada bahagian perut, tangan kiri dan kaki kiri. Kematian mangsa disahkan Pegawai Perubatan bertugas di klinik itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Nor Omar berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama keluarganya datang ke Pulau Pangkor untuk melancong dan menginap di sebuah hotel di pulau berkenaan, kelmarin.
Katanya, kanak-kanak itu bersama keluarganya kemudian ke pantai berkenaan untuk mandi pada jam 6.15 petang dan tidak lama selepas itu tiba-tiba mangsa menjerit kesakitan.
“Orang awam berada berhampiran membawa kanak-kanak berkenana ke tepi pantai dan mendapatinya terkena sengatan obor-obor.
“Ketika dibawa ke darat, mangsa mula tidak sedarkan diri dan keluarganya membawa ke Klinik Kesihatan Pangkor,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat dan punca kematiannya adalah disebabkan ‘jellyfish envenomation’
“Siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah (dalam kes ini) dan kes diklafikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.- Berita Harian
Baca: Nak makan satay, tapi tubuh badan yang jadi santapan..
Nenek 5 cucu mati diperkosa jiran sendiri
Tragis ! Kanak-kanak maut disambar petir ketika berbual ditelefon sambil mengecas