Kebakaran bangunan pencakar langit di Malaysia rendah Pengarah Jabatan Bomba kongsi strategi. Kawal selia perundangan dan peraturan ketat berhubung keperluan keselamatan komprehensif dan ekstensif menjadi antara faktor kebakaran membabitkan bangunan tinggi sangat rendah, walaupun Malaysia adalah negara dengan bangunan ‘super high rise’ terbanyak di Asia Tenggara.
Setakat 2019, Kuala Lumpur mempunyai lebih 1,900 bangunan dengan ketinggian lebih 150 meter, dengan lebih 700 bangunan melebihi ketinggian 100 meter, 170 bangunan (tinggi lebih 150 meter), 42 bangunan (tinggi lebih 200 meter) dan lima bangunan (tinggi lebih 300 meter).
Majoriti bangunan itu di ‘Golden Triangle’ ibu negara termasuk di kawasan Kuala Lumpur City Center (KLCC) dan Jalan Tun Razak.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, berkata selain perundangan, aspek keselamatan bangunan tinggi diperkuatkan dengan penguatkuasaan ketat, kefahaman dan kesedaran industri berkaitan yang baik serta kesedaran pengurusan bangunan yang secara puratanya tinggi mengenai risiko kebakaran.
Beliau berkata, ia juga diperkuatkan pula dengan penguatkuasaan ketat, kefahaman dan kesedaran industri berkaitan yang baik dan kesedaran pengurusan bangunan yang secara puratanya tinggi mengenai risiko kebakaran.
Katanya, elemen pematuhan keperluan undang-undang keselamatan diperkasakan daripada peringkat perancangan iaitu kelulusan merancang, kelulusan pelan reka bentuk bangunan dan sistem mekanikal dan elektrik (M&E) semasa permulaan reka bentuk hingga pembinaan dan kelulusan pengoperasian seterusnya ke peringkat kepenggunaan premis berkenaan.
“Semasa bangunan ini beroperasi, pihak pengurusan perlu mematuhi keperluan pemeriksaan setiap tahun sebelum sijil perakuan bomb boleh diperbaharui.
“Perlanggaran kehendak ini akan menyebabkan pihak pengurusan bangunan diambil tindakan undang undang mengikut Akta 341 Akta Perkhidmatan Bomba 1988. Segala pematuhan perakuan bomba pula disertai dengan program Latihan Organisasi Keselamatan Kebakaran (OKK) premis.
“Ia termasuk pentauliahan pasukan ‘first responder’ (pemberi tindak balas awal) premis, latihan kebakaran, panduan penyelenggaraan, penjagaan sistem aktif dan pasif kelengkapan pepasangan keselamatan kebakaran bangunan tinggi berkenaan,” katanya kepada BH.
Ditanya persediaan bomba menghadapi ancaman kebakaran di bangunan tinggi, Mohammad Hamdan berkata, pihaknya mengamalkan 4M iaitu ‘Man’, ‘Machines & Appliances’, ‘Method’ dan ‘Management’.
‘Man’ merujuk kepada kemahiran, kecekapan, kesediaaan dan kesiapsiagaan sumber manusia, ‘Machines & Appliances’ (kecukupan dan keupayaan perkhidmatan jentera serta kelengkapan), ‘Method’ (manual operasi dan prosedur operasi standard (SOP) dan ‘Management’ (pengurusan kecemasan dan latihan melalui kolaborasi rapat antara bomba dan pihak pengurusan serta ‘first responder’ bangunan berkenaan).
Beliau juga menafikan dakwaan banyak bangunan tinggi tiada sijil perakuan bomba dan tangga kecemasan.
Katanya, setiap bangunan tinggi yang dikategorikan di bawah premis ditetapkan perlu memiliki sijil itu yang diperbaharui setiap tahun.
“Setiap bangunan tinggi ditetapkan kehendak-kehendak kebombaannya iaitu Pepasangan Keselamatan Kebakaran (KMK) berdasarkan Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 termasuk keperluan tangga kecemasan.
“Bagi ubah suai yang tidak menepati kehendak kebombaan berdasarkan undang-undang itu, tindakan boleh diambil ke atas pemilik bangunan melalui penguatkuasaan Akta 341, Perkhidmatan Bomba 1988 sehingga ke peringkat pendakwaan di mahkamah.
“Kita sudah, sedang dan akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pemilik bangunan yang tidak memiliki sijil sah dan tidak memiliki tangga kecemasan berdasarkan Seksyen 33 Akta Perkhidmatan Bomba 1988,” katanya.
Mohammad Hamdan berkata, kehendak kebombaan setiap premis termasuk bangunan tinggi terbahagi kepada dua bahagian iaitu kelengkapan menentang kebakaran (sistem pasif) dan pepasangan keselamatan kebakaran (sistem aktif).
“Jika kedua-dua sistem ini yang ada pada setiap bangunan tinggi sentiasa berada dalam keadaan baik dan tiada pengubahsuaian yang menyalahi undang-undang, maka tidak timbul masalah kepada bomba walaupun premis berada dalam keadaan usang,” katanya.- Berita Harian
Baca: Jangan isi minyak waktu pagi ? pakcik Shell kongsi rahsia waktu terbaik isi minyak.
Kaum lelaki juga datang bulan dan ada kitaran hormon, doktor ini kongsi penyebabnya
11 Petanda Rumah Berhantu Yang Dikongsikan Oleh Pakar Paranormal