Nak kata Najib tak bohong, tak bersalah ? Mahkamah tu ‘tunggul kayu’ kah ?
Selasa lalu, Datuk Seri Najib Razak melangkah masuk ke dalam penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun bersama denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Rentetan itu, ada pihak-pihak tertentu mendesak bekas Perdana Menteri itu diberikan pengampunan diraja, manakala semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan kesediaan parti memberi sokongan kepada kempen petisyen pengampunan apabila tiba masanya.
Ada pula pihak lain memulakan gerakan sebaliknya dengan melancarkan petisyen secara dalam talian memohon Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak memperkenan pengampunan diraja kepada bekas Presiden UMNO itu.
Menurut Tun Mahathir, pembebasan bekas Perdana Menteri itu bukanlah perkara mustahil kerana masih mempunyai peluang melalui pengampunan Yang di-Pertuan Agong.
“Sama ada nak bebaskan Najib, itu terpulang kepada dialah, bukan saya yang tentukan. Langkah pertama ialah Perdana Menteri mesti mengemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong permohonan untuk membebaskan Najib dan Agong boleh buat apa saja keputusan,” katanya.
Bagaimanapun, Pengerusi Pejuang Tanah Air (PEJUANG) itu berkata, rakyat akan kecewa jika Najib yang dihukum penjara atas kesalahan rasuah dibebaskan.
“Kalau kita tanya orang ramai, kalau Najib dibebaskan, setelah mencuri berbilion-bilion ringgit, menipu, bercakap bohong, orang macam ini dilepas, dibebas, akan kecewalah rakyat,” katanya.
Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi, berkata banyak bukti telah dikemukakan di mahkamah sepanjang empat tahun ini yang akhirnya membuktikan Najib bersalah.
“Mahkamah buat keputusan selepas mendengar kes selama empat tahun, bukan satu mahkamah, tetapi tiga mahkamah dan sembilan hakim. Mereka buat keputusan berasaskan bukti-bukti jelas yang ditunjukkan di mahkamah.
“Tetapi yang dijawab (Najib), semua ini tidak betul, semua ini bohong, (jika begitu), kita tak payah ada mahkamah,” katanya menambah, ketiga-tiga mahkamah memberi pendapat yang sama, tetapi Najib tidak mengiktiraf keputusan mereka.
“Kalau ini menganiaya dia, kita tak payah ada mahkamahlah, sampai empat tahun bicara, tiga mahkamah, sembilan hakim, pendapat tiada satu pun yang berlainan,” katanya.
Baca : Amaran ribut petir seluruh negeri
Belum perang dah rosak ! Lemahh….
Parkir kereta Hospital Melaka yang baharu akan dipindahkan ke lokasi ini