Sumpah mubahalah : Najib salah tempat – Dr. Zulkifli Al-Bakri. Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, tiada istilah sumpah laknat dalam perundangan Islam kecuali membabitkan perkara li’an.
Dr Zulkifli berkata, bagaimanapun mubahalah dalam Surah Ali Imran ayat 61 tidak merujuk kepada sistem perundangan Islam sebaliknya kategori sumpah dalam pendebatan untuk menyokong hujah yang benar.
“Mubahalah tidak menjadi satu tuntutan sekiranya kes sedang dibicarakan di mahkamah.
“Bahkan proses keadilan di mahkamah tidak eksekutif pada sumpah sahaja, bahkan pembuktian yang lain seperti pengakuan, penyaksian dan pembuktian di hadapan hakim,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, dalam prinsip perundangan Islam, sumpah hanya diambil kira atau dilakukan apabila diminta oleh kadi atau hakim.
Menurutnya, ianya dilaksanakan selepas pendakwaan dilakukan, bahan bukti dikemukakan dan keterangan saksi didengar.
“Ia disebut sebagai al-yamin al-qadha’iyyah. Ini bersesuaian dengan kaedah fiqh yang menyebut di mana pembuktian adalah tanggungjawab pihak pendakwa, manakala sumpah penafian adalah tanggungjawab orang yang didakwa,” katanya.
Baru-baru ini Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melakukan sumpah mubahalah di Masjid Kampung Baru di sini pada malam Ahad.
Najib membacakan teks sumpah selepas selesai, solat Isyak, hajat dan doa munajat bersama jemaah masjid berkenaan menjelang prosiding rayuan akhir kes beliau di Mahkamah Rayuan pada Selasa ini.
Beliau dalam sumpah mubahalahnya itu memaklumkan tidak pernah mengetahui secara khusus atau sebaliknya bahawa dana RM42 juta itu datangnya daripada syarikat SRC secara langsung atau tidak sehingga kini.
Baca: Ejek polis lepas kena tegur, lelaki kena kecam perangai macam budak-budak