Video ribut teruk di Stadium Kelantan malam tadi. Pengunjung dan hampir 50 peniaga di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, panik dan bertempiaran lari menyelamatkan diri apabila apabila ribut membawa angin kencang ‘berpusar’ bersama pasir melanda kawasan itu, malam tadi.
Insiden mencemaskan selama kira-kira 20 minit itu berlaku jam 7.40 malam dan turut meranapkan dua khemah peniaga dan sebuah kanopi yang disediakan untuk pengunjung menikmati makanan.
Seorang peniaga terbabit, Nor Farah Aina Che Mohd Nor Cheng, 30, berkata kejadian berlaku ketika beliau sedang menjual makanan di salah satu lot disediakan di bawah sebuah khemah besar yang menempatkan 34 gerai.
Sebelum itu, beliau berkata, keadaan cuaca memang sudah agak gelap menandakan hari akan hujan, malah beberapa kali kedengaran bunyi guruh.
“Tidak lama kemudian, berlaku ribut menyebabkan saya segera keluar dari gerai dan berlari ke medan selera yang terletak berhampiran, beberapa saat sebelum ‘kepala angin’ muncul.
“Keadaan ketika itu sangat panik dengan orang ramai lari bertempiaran untuk menyelamatkan diri, selain pandangan juga menjadi kabur kerana angin kencang membawa pasir dan disusuli hujan lebat.
“Malah, ribut itu turut menyebabkan dua khemah yang menempatkan peniaga pakaian dan sebuah kanopi besar tumbang. Mujur tiada sesiapa berada di bawah khemah dan kanopi terbabit ketika itu kerana masing-masing sudah lari menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Sementara itu pekerja syarikat perkhidmatan sewaan kanopi, Nazri Mamat, 50, berkata sebaik saja menerima panggilan daripada rakan memaklumkan kejadian berkenaan, beliau terus bergegas ke lokasi terbabit.
Setiba di lokasi, beliau berkata, didapati dua daripada 20 khemah milik syarikat berkenaan yang digunakan peniaga, mengalami kerosakan teruk, manakala kipas siling disediakan juga rosak.
“Saya tidak pasti berapa nilai kerosakan terbabit, Namun, saya difahamkan kejadian malam tadi agak teruk, malah ada melihat rakaman video detik cemas itu,” katanya.
Peniaga pakaian, Zaim Md Mustapha, 38, berkata beliau tiba di lokasi ketika ribut sedang melanda dan tanpa sempat mengunci pintu kereta, terus berlari ke khemah jualan kerana bimbangkan keadaan isteri dan pekerjanya.
Pada masa sama, Zaim berkata, beliau ternampak sebuah khemah di bahagian hadapan sedang ‘diserang’ ribut, namun mereka bertiga terus berlindung di bawah khemah kerana lokasi tapak jualannya terletak di tengah-tengah.
“Kira-kira 10 minit kemudian, situasi kembali reda tetapi keadaan ketika itu seperti ‘dilanggar garuda’ dan senyap kerana semua peniaga dan pengunjung sudah lari menyelamatkan diri, manakala bekalan elektrik juga terputus.
“Kami semua baru mula berniaga semalam sempena Karnival Kelantan 2022 yang dijadualkan berakhir 3 September depan. Malam tadi, sepatutnya kami tamat berniaga jam 12 tengah malam tetapi disebabkan kejadian itu, semua terpaksa berkemas lebih awal,” katanya.- Berita Harian
Baca: Cuaca buruk dijangka melanda 5 negeri petang ini – 26 Ogos 2022
Najib dapat layanan VIP di penjara ? Ini jawapan dari Jabatan Penjara
Apa dah jadi ? Separuh bogel sambil bersongkok pula di Fesyen KL