“Jangan tuduh ‘kegagalan’ kerajaan PH disebabkan Tun Mahathir seorang” – PEJUANG Muda
1. Saya membaca satu kenyataan oleh Ketua Cabang PKR Hulu Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan, dalam portal berita Free Malaysia Today yang seolah-olah ingin menjarakkan diri daripada prestasi pentadbiran PH ketika 22 bulan berkuasa
2. Dr Sathia menyatakan bahawa “kegagalan” PH yang dimomokkan pihak UMNO/BN selama ini adalah kerana DS Anwar Ibrahim bukan Perdana Menteri ketika itu.
3. Beliau seolah-olah membayangkan bahawa Tun Dr Mahathirlah yang sewajarnya dipersalahkan kerana beliau adalah PM ketika itu tapi kini tidak lagi bersama PH. Maka, dalam logik Dr Sathia, apa sahaja “kegagalan” PH hendaklah mengekori Tun Mahathir dan bukannya PH.
4. Walaubagaimana pun, Dr Sathia silap dalam hujahannya serta lupa bahawa ketika PH berkuasa, Tun Dr Mahathir dan partinya merupakan sebahagian kerajaan PH. Dan, dalam mana-mana kerajaan, keseluruhan ahli kabinet berkongsi pencapaian dan kegagalan atas prinsip kebertanggungjawaban bersama.
5. Ini kerana, kerajaan PH 22 bulan bukan sahaja diusahakan Tun Mahathir seorang, tetapi juga oleh ahli-ahli kabinet dalam kalangan semua parti komponen PH termasuk Presiden PKR ketika itu, DS Dr Wan Azizah, selaku Timbalan Perdana Menteri.
6. Sindrom atau penyakit yang dihidapi Dr Sathia dan pemimpin lain dalam PKR/PH yang gemar memilih-milih atau ‘cherry-picking’ pencapaian tertentu sementara mengalih kesalahan pada orang lain selain diri mereka dalam kegagalan pula adalah perbuatan yang tidak berprinsip.
7. Peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam zaman pentadbiran PN dan UMNO/BN dewasa ini jelas menunjukkan propaganda “Islam terancam” yang mereka gembar-gemburkan dahulu untuk menyerang PH ternyata fitnah serta retorik semata-mata.
8. Siapa boleh lupa bagaimana kebencian kaum memuncak dalam kes arwah Adib yang sehingga kini pun, selepas bertukar dari kerajaan PAS/PN ke kerajaan UMNO/BN (kedua-duanya kerajaan majiriti Melayu-Islam), masih gagal diselesaikan dengan tuntas.
9. Dalam kes Dr Mujahid Yusof Rawa, bekas Menteri Agama, pula, mahkamah telah mendapati bahawa PAS bersalah memfitnah beliau dalam tiga dakwaan berasingan menjual aset milik Tabung Haji serta menyokong LGBT. Jelas bahawa PH ketika itu berada di pihak yang benar dalam banyak hal yang tular serta bersifat kontroversi. Jadi dimana salahnya?
10. Bagi saya, PH dahulu gagal mengawal naratif serta gagal menerangkan isu sehinggakan banyak isu semasa yang ditunggang UMNO/BN dan PAS berjaya menyemarak sentimen kebencian kaum dan rasa tidak puas hati orang-orang Melayu.
11. Kadang-kadang ada isu yang dibiarkan melarat tanpa respon sehingga berhari-hari. Benar kata DS Najib Razak sebelum ini bahawa sebarang isu tular wajar dijawab dalam masa kurang 3 jam. Lebih dari itu, ia akan menjadi sukar untuk diuruskan. Justeru, kegagalan PH yang terbesar adalah dalam hal mengurus kemenangan dan jentera penerangan.
12. Siapa pula yang mengurus hal penerangan PH di peringkat akar umbi dan media massa? Jawapannya ada pada pemimpin PH sendiri. Jadi berhentilah menunding jari dan bekerja kearah menyatukan pembangkang. Pada kadar ketika ini, PH lebih pada menjadi liabiliti daripada aset.
NIK FATHURAHMAN
Naib Ketua
PEJUANG Muda Malaysia
Sumber : Facebook
Baca: PAS bertegas tetap nak main ‘kolam’ dengan UMNO
Ekonomi negara semakin tenat UMNO PN pula sibuk berlawan siapa lebih jantan