Kalau Tun Mahathir boleh keluar masuk UMNO, saya pun boleh keluar masuk PAS – Khairuddin Aman Razali. Bekas pemimpin Pas, Datuk Mohd. Khairuddin Aman Razali menegaskan beliau masih mempertimbang tawaran daripada beberapa parti politik untuk diwakilinya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.
Beliau berkata, tawaran tersebut mula diterimanya sejak mengumumkan berhenti daripada Pas pada Mac lalu.
Bagaimanapun menurutnya, beliau tidak mahu mendedahkan parti-parti politik terlibat yang masih dalam proses pertimbangan kerana mempunyai prinsip tersendiri memilih platform terbaik.
“Buat masa ini, saya masih belum memuktamadkan lagi langkah seterusnya untuk PRU15, tumpuan adalah berkhidmat kepada rakyat kerana itu amanah dan tanggungjawab saya sebagai Ahli Parlimen Kuala Nerus tanpa mengira warna parti.
“Apabila sampai masanya nanti saya akan umumkan apakah tindakan saya sama ada bertanding sebagai calon Bebas atau mewakili mana-mana parti, tunggu sehingga kerajaan membubarkan Parlimen, baru saya sedia maklumkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ibrahim Fikri di sini hari ini.
Ditanya mengenai desas-desus beliau ingin memohon masuk semula Pas, Mohd. Khairuddin yang juga bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu berkata, setiap parti politik diibaratkan sebagai ‘rumah’ untuk pemimpinnya keluar dan masuk mengikut kesesuaian semasa.
“Macam (bekas Perdana Menteri) Tun Dr. Mahathir Mohamad pun pernah keluar masuk UMNO, tak ada masalah. Kalau saya nak masuk semula ke dalam Pas, saya kena buat surat permohonan baharu dan kelulusannya bergantung kepada pucuk pimpinan parti.
“Namun, itu semua belum difikirkan lagi kerana seperti saya tegaskan tumpuan dan fokus utama saya ketika ini hanya untuk rakyat di Parlimen Kuala Nerus dan yang lain berkaitan bertanding atau tidak, biarlah rahsia sehingga Parlimen bubar nanti.
“Jauh di sudut hati, memang saya masih sayangkan Pas kerana saya membesar dengan Pas, ia medan dakwah sejak berusia 16 tahun dan saya telah berada dalam Pas selama 33 tahun.
“Keputusan untuk saya berhenti dibuat penuh beradab, ada sebab-sebabnya, tak apa lah mungkin platform ini tak sesuai dengan saya, mungkin saya akan pergi platform lain tapi saya akan saya kekalkan hubungan baik dengan Pas demi Islam,” katanya. – UTUSAN
Baca: Hanya pemimpin korup tidak mahu Tun Mahathir kembali menjadi PM
Perangai keras kepala dan ‘palatou’ Rafizi akan menyebabkan PH kalah PRU15
UMNO takut jika peratus keluar mengundi tinggi – Adly Zahari