Mutakhir ini cerita pilihanraya umum dah dekat semakin diperkatakan. Penganalisis politik kini sibuk mengkaji setiap kerusi parlimen dan antara kerusi parlimen tumpuan adalah parlimen Alor Gajah.
Pada PRU lalu, PH (Bersatu) berjaya merampas kerusi itu daripada BN (MCA). Calon Bersatu Mohd Redzuan Yusof atau lebih dikenali sebagai Pak Wan menang dengan majoriti 6,980 undi.
Menurut sumber Bersatu yang ditemui, Parlimen Alor Gajah adalah kerusi yang akan dipertahankan Bersatu. Pak Wan dijangka akan kekal bertanding di kerusi itu.
“Kita tiada masalah untuk mempertahankan kemenangan Bersatu (PN) di Alor Gajah. Sejak Mei 2018 lagi kita sentiasa turun padang membantu rakyat di sini. Rakyat dah tahu gerak kerja kami (Bersatu).” kata sumber.
“Cuma kita sedikit bimbang jika PH menghantar YB Adly Zahari, ADUN Bukit Katil bertanding di sini.” kata sumber itu lagi.
Menurut sumber “Alor Gajah adalah tempat kelahirannya dan Adly masih popular di kalangan orang Melaka walaupun dia bukan lagi Ketua Menteri. Semasa pemerintahannya dulu kita tak boleh nak nafikan yang dia banyak buat reform dan mudah mesra dengan sesiapapun. Lagipun dia seorang yang bersih dan kuat bekerja. Sebab itu dia masih disukai ramai sehingga kini.”
“Pak Wan pernah terpalit dengan isu kereta terbang. Tapi rasanya sekarang orang dah tak ingat isu itu lagi.”
Manakala pemimpin PH Melaka yang dihubungi tidak dapat memberikan sebarang komen kerana calon untuk Alor Gajah belum diputuskan oleh Majlis Pimpinan Pusat.
“Setakat ini yang kita tahu kerusi itu adalah kerusi DAP. Kerusi Amanah adalah di Jasin dan Masjid Tanah.” kata seorang pemimpin PH Melaka yang tidak mahu dikenali.