Dua warga tempatan culik lagi lelaki Palestin. Dua lagi lelaki warga tempatan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menculik seorang lelaki Palestin berkaitan cubaan menggodam telefon bimbit, bulan lalu.
Pada 14 Oktober lalu, seramai 10 lelaki dan seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menculik mangsa yang sama.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh-tertuduh, Mohd. Zaidi Mohd. Zain ,54, dan Tengku Hazarul Ismail Tengku Hamid, 49.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa menahan Omar Z.M Albelbaisy Raeda, 31, dengan cara tidak berpatutan untuk mendapatkan ganjaran iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 10.40 malam di Jalan Mayang di sini, 28 September lalu.
Pertuduhan terhadap kedua-dua lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau dipenjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Aris Kamaluddin manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Tiada jaminan dibenarkan kerana kesalahan itu tidak boleh diikat jamin.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 15 Disember ini.
Laporan media pada 5 Oktober lalu menyatakan, seramai 18 individu terdiri daripada lelaki dan wanita warga tempatan serta warga Indonesia diberkas selepas terlibat dalam kes culik melibatkan seorang lelaki warga Palestin pada 28 September lalu.
Mangsa yang dipercayai ahli perniagaan bagaimanapun berjaya diselamatkan menerusi serbuan berasingan yang dijalankan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur keesokan harinya. – UTUSAN
Baca : Bekas pelajar mengamuk, b*nuh ramai pelajar di sekolahnya