Isteri berkhalwat dengan Bangladesh tapi buat alasan ambil lesen memandu. Wanita dicekup berkhalwat dengan pasangan masing-masing yang merupakan warga Bangladesh di sebuah inap desa di Lunas semalam.
Mereka ditahan anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) kira-kira pukul 11.30 pagi.
Wanita berusia 26 dan 38 tahun itu ditahan di bilik berasingan bersama pasangan masing-masing berusia 35 tahun.
Dua wanita terbabit dikatakan memberi alasan mahu keluar untuk mengambil lesen memandu kepada suami masing-masing.
Pegawai Penguat Kuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Shariffudin Mat Saad berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan dengan bantuan polis selepas menerima maklumat awam berhubung kegiatan maksiat itu.
“Hasil pemeriksaan ke atas sebuah bilik di inap desa itu menemui seorang wanita berusia 38 tahun yang berstatus isteri orang dan mempunyai empat anak berdua-duaan dengan seorang lelaki warga Bangladesh.
“Wanita terbabit mendakwa memberi alasan kepada suaminya ke Kulim untuk mengambil lesen memandu,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan yang dilakukan di bilik berasingan menemui seorang lagi wanita berusia 26 tahun bersama pasangannya seorang lelaki warga Bangladesh.
“Wanita itu juga sudah berkahwin selama tujuh tahun tetapi belum mempunyai anak.
“Dia juga memberi alasan kepada suaminya untuk mengambil lesen memandu bersama seorang rakan di Kulim,” ujarnya.
Katanya, dua wanita itu bekerja di sebuah kilang di daerah Kuala Muda dan baru seminggu mengenali lelaki warga Bangladesh melalui aplikasi WeChat.
“Mereka ditahan mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014,” katanya.
Tambahnya, kesemua mereka dibawa ke Balai Polis Lunas untuk dibuat laporan tangkapan sebelum diambil keterangan.
SUMBER : KOSMO! ONLINE
Bayi 12 bulan antara mangsa kemalangan rempuhan lori