PM umum tol percuma bermula esok. Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan tol percuma di Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) bermula esok hingga 30 Nov.
Beliau mengumumkan perkara itu ketika berucap merasmikan lebuh raya sejauh 20.1km itu.
“Lebuh raya yang mula dibina sejak Ogos 2016 dan siap pada 30 Sept itu mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas di beberapa lokasi strategik, seperti di sepanjang Persiaran Mokthar Dahari, Jalan Sungai Buloh dan Persiaran Surian, sehingga 40% ketika waktu puncak.
“Lebuh raya DASH menjadi laluan alternatif kepada pengguna di sebelah barat Shah Alam untuk melakukan perjalanan ke Kuala Lumpur, sekali gus mengurangkan kesesakan, tempoh perjalanan dan menyuraikan trafik secara lebih berkesan,” katanya.
Lebuh raya yang menelan belanja RM4.2 billion itu dijangka mampu mengurangkan masa perjalanan dari Puncak Perdana, Shah Alam ke Penchala, Kuala Lumpur daripada 90 minit kepada 30 minit.
Lebuh raya dengan panjang keseluruhan 55.4 km termasuk susur simpang itu mempunyai 13 persimpangan, iaitu Puncak Perdana, Alam Suria, Denai Alam, Kampung Melayu Subang, Pinggiran Subang, Subang 2, Lapangan Terbang Subang, RRIM (Kwasa Damansara), Surian, Seksyen 5 Kota Damansara, Sunway Damansara, Damansara Perdana dan Penchala.
Perdana menteri turut mengumumkan penstrukturan semula empat syarikat konsesi lebuh raya bertol bawah kendalian Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings (Prolintas) dan mengurangkan kadar tol bagi lebuh raya terlibat.
Lebuh raya terbabit termasuk Lebuh Raya Bertingkat Ampang-KL (Akleh), Lebuh Raya Koridor Guthrie (GCE), Lebuh Raya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK).
“Ia akan berkuatkuasa pada 12.01 tengah malam 20 Okt, manakala pengurangan kadar tol bagi Lebuh Raya Lekas dan Besraya bawah Kumpulan IJM Corporation Berhad akan berkuat kuasa mulai 1 Jan 2023,” katanya.
Melalui penstrukturan terbaru itu, Ismail berkata, kerajaan dapat menjimatkan sebanyak RM8.8 bilion dalam bentuk pampasan yang sepatutnya dibayar kepada syarikat konsesi terlibat.
“Pengguna lebuh raya pula dapat menikmati kadar tol yang lebih rendah sekali gus dapat meringankan beban kos sara hidup,” katanya.
Ismail turut mengumumkan pembinaan lorong tambahan dan satu terowong baharu di Genting Sempah dalam usaha menampung trafik yang tinggi serta menangani masalah kesesakan lalulintas di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dari Tol Plaza Gombak ke Tol Plaza Bentong.- FMT
Baca: Kajian ini membuktikan jalanraya di Malaysia sangat bahaya
Tiga negeri ini risiko banjir besar hujung tahun ini – Pakar
Lalu di Jalan raya ‘tak siap’, penunggang basikal ini ditimpa malang