Ronaldo tak ‘dipulaukan’ lagi. Tempoh ‘pemulauan’ Cristiano Ronaldo sudah berakhir apabila dia kembali berlatih bersama Manchester United dan sedia diturunkan dalam aksi Liga Europa menentang Sheriff Tiraspol esok.
Pengurus pasukan, Erik ten Hag sebelum ini menyisihkan Ronaldo daripada aksi Liga Perdana bertemu Chelsea, selain mengarahkan kapten Portugal itu berlatih bersendirian kerana enggan bermain sebagai gantian menentang Tottenham.
Ronaldo meninggalkan bangku simpanan dan keluar ke bilik persalinan sebelum wisel penamat dibunyikan hingga menimbulkan kemarahan Ten Hag.
Biarpun tiada pertemuan ‘hati ke hati’ seperti yang dilaporkan media, pemain berusia 37 tahun itu dibenarkan kembali bersama skuad senior bagi menghadapi Tiraspol di Old Trafford.
Menurut The Sun, Ronaldo sudah menerima ‘hukuman’ dan Ten Hag mahu penyerang itu melupakan apa yang berlaku.
Pemain sayap United, Antony amat teruja Ronaldo kembali menyertai rakan-rakannya dengan memuat naik gambar pemain itu berlatih di Carrington dalam media sosial.
Bintang Brazil itu menyifatkan ‘mood’ pasukan sangat baik, malah menggelar Ronaldo sebagai idola.
Antony mungkin direhatkan daripada kesebelasan utama kerana dia tidak pernah terlepas perlawanan sejak tiba di United.
Jadon Sancho dijangka mengambil tempatnya di sayap kanan, Elanga kiri dan Ronaldo sebagai penyerang tengah.
United kini di tangga kedua Kumpulan E, tiga mata di belakang Real Sociedad cerah, dan ke pusingan seterusnya. – AGENSI
Baca : PASKAL menerima pelbagai jenis aset baharu -Hishammuddin