Kisah Malaysia - Koleksi Viral Terkini Tentang Malaysia     ...

Sedihnya baca kisah Arwah Muhamad Fadzil. Patutlah ramai yang menangisi kematiannya.

Tribute buat Saudaraku Al Marhum Haji Muhamad Fadzil bin Ahmad.

Meninggal dunia tanggal 2 Oktober 2022.

Hari ini genap 6 hari pemergian saudara Fadzil. Baru ada sedikit kekuatan untuk mencoret tentang kematian dan liku-liku perjalanan hidup beliau. Perkenalan kami hampir 2 dekad bermula di Universiti Malaya. Kami pernah serumah sewa di Petaling Jaya dan kami dari sekolah tarbiah yang sama. Naqib kami yang masyhur ketika itu Ustaz Dr Mohd Ramadhan Fitri Elias. Manakala Murshid dikalangan pensyarah pula Prof Dr Zulkefli Yusuf dan Prof Dr Hamdi Abdul Shukor (kini VC UM) dan ramai lagi nama-nama murabbi yang panjang untuk dicatat.

FOTO PENULIS BERSAMA SAHABATNYA KETIKA MUDA

Di UM Kuala Lumpur, Fadzil memegang jawatan Timbalan Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM) dan sebelumnya di UM Nilam Puri beliau menjadi Presiden Persatuan Mahasiswa API UM Nilam Puri. Sedari awal usianya di peringkat mahasiswa, semua sedia maklum watak dan perwatakannya kelihatan matang, bahkan boleh jadi paling matang di kalangan rakan seusia sehingga kadangkala ada yang tertukar di antara beliau dengan pegawai atau pensyarah Universiti dek kerana kekemasan dan wajah beliau yang lebih berusia daripada yang lain. Namun disebalik penonjolan secara fizikal sebegitu, Fadzil bukanlah seorang yang riuh rendah. Mulutnya lebih banyak terkunci daripada berkata-kata kecuali dengan rakan yang dikenali.

Panjang cerita zaman UM, zaman muda, idealis dan rebel. Pantang silap, berhimpun lah kami. Terakhir antara yang masih diingati, Himpunan Al Quds di hadapan kedutaan US Jalan Tun Razak. Dia dan rakan-rakan pimpinan termasuk dari UIA, UKM, UPM dan lain-lain ketuai dan aku tukang bakar aka tukang hasut. Tapi awas! Semua watak-watak ini cemerlang dalam pelajaran dan menjadi orang penting di sektor masing-masing hari ini.

Tamat UM, Fadzil terus aktif sebagai Peguam Syarie. Kami disatukan di platform baru iaitu Dewan Pemuda Pas Lembah Pantai (DPPLP). Aku Ketua dan Fadzil awalnya Ketua Penerangan, kemudiannya Naib Ketua. Bersama kami peguam Hafiz Habil, Dr Khairul Naim Che Nordin (kini pensyarah kanan UM), Roni, Det, Suhaimi Manan dan ramai lagi. Ketika itu sekitar PRU 2008, YB Nurul Izzah kali pertama bertanding pilihanraya dan gerak kerja kami tertumpu membantu beliau.

Bermula saat itu kami kerap bermusafir samada memenuhi aktiviti parti, program tarbiah atau kerja-kerja kebajikan. Di antara yang tergamit dalam memori ialah musafir kami ke Sarawak beberapa kali, ke Singapura dan ke Melbourne. Di Sarawak bersama Haji Khalil Zawawi Faizul Hardi kami mendaki Gunung Santubong, membantu asnaf di Sebuyau dan membina jambatan kecil (titi) untuk ke Masjid di Samarahan. Ke Singapura, berbekal beg galas, kami menaiki bas dari Tambak Johor tanpa sebarang halatuju. Ibarat kata redah sahaja.

FOTO ARWAH KETIKA MENGANGKAT BERAS UNTUK DISUMBANGKAN

Perjalanan ini tidak penting pun untuk diceritakan, tetapi kelaku Fadzil itu yang sukar dilupakan. Kalau bab travel, pantang diajak jarang ditolak. Bab berbelanja, seperti tidak ada hari esok buat dirinya. Makan di kedai pasti dia dahulu yang bayar. Bukanlah setiap masa kawan kawan tidak berduit sehingga perlu dia bayar dan bukan juga setiap masa dia sendiri berduit. Tetapi sikapnya selagi ada nilai ringgit di poket, pasti dia dahulu akan membayarnya.
Di Lembah Pantai kami asaskan sebuah Pusat Asuhan kanak-kanak (PASTI Mukmin). Kosnya bukan sedikit untuk uruskannya di kawasan bandar. Selain sumbangan, duit poket pimpinan lah yang dikeluarkan.

Seperti biasa bila diajukan masalah kewangan, tindakan Fadzil seperti disebut di atas, ‘tidak ada hari esok untuk dirinya.’ Terus sahaja menyumbang apa yang ada dalam account banknya.

Sebenarnya ada sebuah lagi PASTI batch kami tubuhkan iaitu PASTI Kg Pasir. Pengasasnya arwah Zalikha atau Ika panggilannya. Ika orang Johor. Kami satu batch dan IKA meninggal lagi awal lebih 10 tahun yang lalu akibat kanser. Catatan terakhir Ika seumpama cara Fadzil juga. Kerjanya kuat. Apabila diminta berehat, jawab Ika. “Ika tidak mahu berehat. Ika mahu berehat seperi Almarhum Ustaz Fadzil Noor (kebetulan namanya Fadzil juga) dan berehatnya as Syahid Imam Hassan Al Banna di kuburan. Berakhir dengan Ika benar-benar menyahut panggilan Ilahi di usia mudanya.

Berbalik kepada Fadzil. 2013 aku ditugaskan bertanding Parlimen Masjid Tanah. Fadzil orang pertama setuju dan dia jadi wakil calon. Sepanjang 4 bulan lebih berkempen, beliau berulang alik setiap minggu ke Masjid Tanah. Hampir tidak ada weekend untuk anak isterinya. Semuanya tertumpah ke Masjid Tanah. Tidak itu sahaja, segala perbelanjaan dia akan dahulukan. Kata Izan, habis pilihanraya, bersamaan habis keringlah duit dalam account nya. Pemurah dan berkorbannya beliau bukan kerana sentiasa punyai wang yang banyak, tetapi sikapnya mendahulukan kawan, seumpama ‘tiada hari esok buat dirinya’.

Diringkaskan cerita, kami terpisah sementara dari tahun 2015 hingga 2018 apabila aku berhijrah ke Melbourne. Namun pernah sekali dia, Izan dan anak anak menziarahi kami di Melbourne. Di sana aku haramkan dia memandu kerana tahap mesra dan ‘melawak’ Fadzil ni dari gurauan ketika berdepan sehinggalah di atas jalan raya menjadi tempat dia bergurau. Dia akan himpit kita ketika memandu, nyalakan lampu tinggi di waktu malam yang sentiasa mengundang kemarahanku. Tiap kali aku marah, dia akan ketawa. Lagi marah, lagilah dia gelakkan. Tetapi peliknya, sekalipun dia tidak pernah accident. Gurau beliau hanya dengan kawan yang rapat. Dengan orang luar, mulutnya selalu diam sahaja.

ARWAH AKTIF DENGAN POLITIK SEJAK DI UNIVERSITI

Apabila berubah parti politik sejak 2015, Fadzil menjadi orang penting pemuda. Dari AJK biasa, Setiausaha, Pengarah Starategik, Pengarah Komunikasi sehinggalah Naib Ketua. Jika diikutkan beliau adalah senior. Kelulusan, pemikiran, kerjaya, disiplin, penampilan dan kewangannya adalah yang paling baik berbanding dengan yang lain. Tetapi sesekali beliau tidak pernah menjadi ketua atau berusaha untuk menjadi calon pilihanraya pun tidak walaupun beliau berganda lebih layak.

Ketika aku tunjukkan wajahnya kepada DS Solehudin Ayub bekas Menteri Pertanian, terkejut dia kerana katanya kerap juga duduk sekali dengan Fadzil. Tetapi jarang berbual. Begitulah Fadzil. Walaupun berbakat, duduk dengan pimpinan atau orang berpengaruh, mulutnya hanya berkata perkara yang perlu. Untuk menjual dirinya tidak sama sekali. Biasa anak muda yang gelojak nafsu politik tengah membara, pantang jumpa orang berpengaruh pasti akan usahakan untuk ‘menjual diri’. Setidaknya selfie. Hatta ketika solat atau di tanah perkuburan pun, ramai sahaja yang meminta ‘digambarkan’ atau ‘dirakam’ aksi-aksi mereka kerana semua itu bagi mereka ada nilai untuk menjual diri. Tetapi Fadzil tidak begitu. Bakat dan peluang beliau sentiasa di depan mata. Tetapi bertindak tidak. Hajatkan kuasa dan pengaruh tidak sama sekali. Dia hanya bekerja, berkhidmat untuk ummah.

Sabtu lepas, jam 12 malam aku baru hendak lelapkan mata. Bunyi titisan derah air hujan di atas zink di rumah emak mendodoi lena kami. Amat seronok jika hujan di kampung kerana ada bunyi, di bandar hanya nampak titisan air sahaja tanpa bunyi sebab segalanya batu. Husaini Bro Tora hubungi aku berkali-kali sekitar jam 12.50. Begitu juga Khairul Najib dan Mohd Fadhlullah Ismail. Jam 1.20 pagi, Abang Aris Faizul Ismail kejut aku. Katanya Fadzil meninggal dunia. Fadzil mana? Tanya aku. Fadzil Ahmad. Kawan hang la. Terus aku capai phone dan ternyata ada call bertalu-talu dari Husaini dan Dzulkhairi Khairi. Aku hubungi mereka. Memang sah. Fadzil sudah tiada. Husaini @ Bro Tora menjadi orang pertama dihubungi Ijan kerana mereka amat rapat kerana pergi haji ditahun yang sama 2017.

Aku terpaku. Tetapi tidak lama. Segera aku sambar kunci kereta dan ajak Amiratul Munirah pulang ke KL. Anak-anak dibiarkan tidur. Aku kucup wajah emak yang setia menanti dan mendoakan perjalanan kami di tengah hujan lebat. Perjalanan 180km terasa panjang. Aku menangis dan kadangkala aku marah. Baru siang tadi kami berbual dalam group whatsapp. Baru 3 malam sebelumnya kami makan-makan bersama di Bukit Mahkota. Jika ikutkan isterinya, Dr Ijan, aku orang terakhir bertemu dengan beliau di kalangan kawan kawan. 3 jam aku berbual dengan Fadzil malam itu bersama Ahmad Saiful Rahman. Dia ceritakan perancangannya ke UK hanya sekitar seminggu sahaja lagi.


Tapi malam itu gurauannya sudah tidak seperti selalu. Aku tutup pertemuan malam itu dengan mempertegaskan kepada beliau. “Fadzil, dalam kalangan kawan-kawan, hang paling berbakat. Ilmu ada, pengalaman ada, penampilan pun ada. Pengorbanan tidak kira lagi lah. Hang la segala-galanya. Sepatutnya hang lebih layak jadi calon di mana mana kerusi selamat berbanding dengan yang lain. Itu kata aku. Dia hanya menjawab sepatah, ‘heh’ atau ‘huh’ sambil tersenyum nipis. Kekal menunjukkan sikapnya yang tidak bernafsu pada kedudukan.

Aku sampai ke Klang sekitar jam 4 pagi. Terus ke IPK Klang Selatan kerana dimaklumkan Dr Ijan sedang membuat laporan kematian. Melihat sahaja kelibat isteriku di hadapan balai, terus mereka berpelukan dan bermulalah episod tangis, ratapan, hiba yang tidak akan dapat aku lupakan. Kalau rakan taulan terkejut, isteri sendiri lebih lagilah terkejut. Dengan tubuh badan yang sihat, kurus, aktif berbasikal, baru sahaja membuat pemeriksaan kesihatan sebagai keperluan untuk memohon visa ke UK, tiba-tiba Fadzil pergi tanpa sebarang tanda.

Dari balai polis Klang ke HTAR jaraknya tidaklah jauh. Tetapi dek kerana mataku sudah kelabu, kepala sudah gelap, berputar-putar aku memandu dengan tangisan mereka berdua di tempat duduk belakang kereta. Oleh kerana usianya yang muda dan tiada rekod sakit, jenazah perlu dibedah siasat. Jam 1.30 pm baru selesai urusan tersebut dan segera aku masuk ke bilik mayat. Air matahampir kering. Tetapi apabila dibuka sahaja beg jenazah, terpampang wajahnya.
Ya Rabb. Air mata tidak mampu diseka lagi. Bukan semata-mata aku sedih kematian seorang kawan, tetapi sungguh-sungguh aku cemburu melihat wajahnya. Walaupun sudah lebih 12 jam kematian, tetapi kelihatannya seperti sedang tertidur sahaja. Tenang, kemerah-merahan dan manis wajahnya. Ditambah manik-manik air membasahi dahi dan rambutnya menjadi petunjuk, bahawa dia pergi menemui Tuhannya dalam keadaan dia amat dicintai oleh Penciptanya, Rabb Yang Maha Pengasih yang lebih mengasihi hambaNya berbanding kita makhluk yang lemah segala-galanya. Menuruti aku seterusnya Dr Muhaimin Sulam dan isterinya. Isteriku dan kakak iparnya. Kemudian barulah isteri dan anak-anaknya.

ARWAH MENINGGAL DUNIA KERANA SERANGAN JANTUNG

Air mata semakin deras tidak tertahan melihat si kecil Yahya Ayyash anak keempat Fadzil yang berusia 3 tahun mengusap-usap rambut bapanya. Tidak lah diketahui hal sebenar yang berlaku melainkan anak ini mengatakan, “abi sakit kepala’. Masuk pula Azzam yang baru berusia 3 bulan didukung ibu saudaranya. Bayi kecil ini baru melihat dunia, belum kenal bapanya tetapi menjadi saksi di hari kematian bapanya tanpa mengerti apa yang berlaku. Diletakkan wajah Azzam di sebelah bapanya agar bersentuhan dua beranak ini buat kali terakhir.

Masuk pula Izzudin, Jaja dan Iffah. Anak kedua dan ketiga itu sudah mengerti kehidupan dunia. Usia mereka 3 beradik sekitar 7 hingga 12 tahun. Tangisan mereka menghibakan semua yang hadir.

Izzuddin pula bukan sekadar kehilangan bapa, tetapi dia akan menggantikan bapanya sebagai wali, pelindung buat adik adik dan ibunya. Besar tanggungjawab akan dipikul.

Jenazah diuruskan dengan segera. Dengan keizinan keluarga dan rakan-rakan aku turut sertai memandi dan menkafankan jenazah. Isterinya juga bersama 3 anak yang paling besar berkesempatan memandikan jenazah. Semuanya berjalan dengan lancar sehinggalah di bawa ke Masjid Bandar Seri Putra untuk disolatkan. Penuh parkir kereta dalam dan luar masjid dengan hadirin yang setia menanti sejak daripada selepas zohor lagi. Turut menanti di sana ibu dan kakak kandungnya yang datang dari jauh.

Di tanah perkuburan, berebut-rebut rakan-rakan untuk menguruskannya. Aku turut serta masuk ke liang untuk menyambut jenazahnya. Sedikit demi sedikit tanah dikambuskan dan sekitar jam 6.30, bersemadilah saudara kami Haji Mohamad Fadzil Ahmad dengan tenang mengadap Rabbnya. Rabb yang amat mengasihinya. Rabb Yang Maha Pengampun dan Maha Mengetahui hikmah-hikmah di sebaliknya. Rabb yang memudahkan pemergian beliau dengan lafaz syahadah yang terang dan lengkap di hadapan isterinya yang tercinta. Damailah kau di sana Fadzil. Adapun kami di dunia menanti giliran ke sana.

Harimau mati meninggalkan belang. Manusia mati meninggalkan nama.

Fadzil telah mengajar kami dalam hal sedekah, berbelanja, tidak ada hari esok buat dirinya. Sungguh-sungguh dia wakafkan dirinya dan hartanya dan selayaknyalah dia terima kemuliaan di hari kematiannya dan memang benarlah ‘tiada hari esok lagi buat dirinya’. Hari-hari beliau di alam baru berbekalkan pelaburan amal soleh yang beliau tanam ketika di dunia. Begitu juga hal pengaruh, kedudukan dan kuasa yang tidak dikejarnya.

Kami menerima ucapan takziah daripada pelbagai pihak buat keluarga beliau. Termasuk daripada rakan-rakan lamanya dalam Pemuda Pas, Pemuda UMNO, MUDA, PKR dan semua kelompok. Bahkan ada yang tidak mengenali langsung pun tertanya tanya siapa Fadzil ini di hari kematiannya kerana terlalu ramai orang berkata tentang kematiannya. Hatta solat jenazah juga dihadiri oleh orang yang tidak pun rapat atau mengenali beliau kerana semuanya berlumba-lumba untuk berikan khidmat terakhir buat almarhum. Manusia mulia yang hidupnya bersunyi-sunyian dan tidak dikenali ramai, tetapi di hari kematiannya ramai yang tangisi.


Buat rakan-rakan yang habis membaca sehingga ke sini, aku sekadar hendak sampaikan hajat isterinya agar sesiapa yang Fadzil berhutang dengannya, maklumkan segera. InsyaAllah akan diusahakan untuk dilunaskan. Begitu juga daripada aku sendiri. Aku mengetahui ramai orang yang berhutang dengan arwah. Ingat, hutang itu kini bertukar menjadi milik anak-anak yatim yang kehilangan bapanya, hutang itu bertukar jadi milik isteri yang kehilangan suaminya yang akan menjalankan tugas sebagai ibu dan bapa sekaligus dan hutang itu menjadi milik ibu yang kehilangan anaknya. Usahakan secepat dan sejujur mungkin untuk membayar hutang-hutang anak yatim ini agar hak mereka dikembalikan dan agar hidup kita lebih tenang di hari hari yang kita tidak tahu waktu penghujungnya.

Sekian. Coretan buat sahabat yang kukasihi. Tiada lagi hari esok buat dirinya di dunia. Moga keampunan dan syurga buatmu sahabat.

Terima kasih kepada semua ahli keluarga Fadzil dan Ijan, Bro Tora, Khairul Najib dan Khaidir Abu Mus’ab Det dan lain lain yang membantu menguruskan di hari kematian. Terima kasih buat Imam Solat jenazah Ustaz Ramadhan Fitri Khadijah Ismail. Terima kasih juga buat Ustaz Hafiz Habil, Ustaz Mustaza rakan peguam Fadzil yang menguruskan urusan selepas kematian. Terima kasih buat UdinSolehhudin Ismail yang mengutip batu-batu hidup dari Hulu Langat untuk kuburan.

Share This Story

Berita Berkaitan