Tiga negeri dilanda banjir setelah hujan lebat awal pagi tadi. Banjir di beberapa negeri awal pagi tadi menyebabkan seramai 172 mangsa terpaksa ditempatkan di enam pusat pemindahan sementara (PPS).
Portal Pusat Kawalan Bencana Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memaklumkan pada 4 pagi tadi, mangsa terdiri daripada 45 keluarga yang tinggal di beberapa kawasan di Johor, Sabah dan Sarawak.
Di Johor Bahru, seramai 17 mangsa daripada tiga keluarga dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan Bukit Mutiara, manakala di Beaufort, Sabah pula, 51 mangsa daripada 19 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Datuk Sri Panglima Mohd Dun Banir.
Sementara itu di Papar, 10 mangsa daripada dua keluarga dipindahkan ke PPS Kompleks Latihan dan Pemulihan Orang Kurang Upaya.
Di Penampang, 61 mangsa banjir daripada 11 ahli keluarga berada di PPS Dewan Program Perumahan Rakyat Sri Keramat, Putatan, menurut Berita Harian.
Sementara itu, di Miri Sarawak pula, Nadma merekodkan 28 mangsa daripada lapan keluarga dipindahkan ke Dewan Masyarakat di Bekenu, manakala lima lagi mangsa daripada dua keluarga ditempatkan di PPS Dewan Masyarakat Sepupok Niah, pagi tadi.
Baca: Banjir akan datang lebih buruk dari sebelum ini – Pakar
“Kerajaan jangan susahkan pengundi adakan PRU semasa musim banjir”