Fad Bocey kemalangan, kepala terhentak. PELAWAK dan penyampai radio, Fad Bocey dikejarkan ke hospital berdekatan selepas terlibat dalam kemalangan ketika menunggang motosikal pada Isnin.
Menurut isteri Fad iaitu Nur Syahirah A. Rahman, dia terkejut apabila menerima khabar Fad kemalangan melalui panggilan telefon.
“Berita buruk, baru duduk minum air selesaikan barang-barang rumah… Fad call dia kemalangan. Dugaan apa ini,” katanya.
Perkara itu dikongsikan Syahirah menerusi hantaran di ruangan IG story miliknya.
Berkongsi lebih lanjut, Syahirah memberitahu bahawa Fad kini sedang menerima rawatan di sebuah hospital.
Malah, suaminya itu juga perlu pemantauan rapi daripada doktor kerana mengalami hentakan di bahagian kepala ketika kemalangan.
“Maaf yang mana hubungi tadi bateri tinggal tiga peratus, ini baru phone bernyawa. Keadaan terkini Fad perlu monitor under HDU (High Dependency Unit) sebab ada hentakan dekat kepala untuk pastikan semuanya bagus.
“Sebab masa dekat tempat kejadian dia muntah. Tapi Alhamdulillah dia kuat. Terima kasih yang mendoakan, semoga kebaikan kalian dibalas Allah SWT,” katanya lagi.
Dalam pada itu, pelawak Achey juga turut menghulurkan bantuan bagi menguruskan urusan kemalangan selepas menerima berita berkenaan.
Menerusi hantaran Achey di Instagram, dia juga berkongsi keadaan Fad yang sedang terbaring di atas katil semasa menerima rawatan.
Meskipun dalam keadaan sakit Fad dilihat masih mampu memberikan senyuman kepada rakannya itu.
“Semoga cepat sembuh sahabat,” tulisnya. –Mstar
Baca : Kren jatuh, warga tempatan antara mangsa runtuhan