Pemain Perancis Kylian Mbappe bakal didenda FIFA. Kylian Mbappe mempamerkan aksi cemerlang pada Piala Dunia 2022 setakat ini apabila meledak tiga gol dalam dua perlawanan, malah membawa negaranya melayakkan diri ke peringkat kalah mati.
Bagaimanapun bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu berdepan risiko dikenakan sekatan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) gara-gara enggan ditemubual media dalam dua perlawanan berturut-turut.
Penyerang berusia 23 tahun itu menjaringkan gol ketika Perancis membenam Australia 4-1 dalam aksi pembukaan dan meledak dua lagi jaringan untuk menundukkan Denmark 2-1, Sabtu lalu.
Begitupun, tindakan Mbappe enggan berhenti dan bercakap kepada media di zon yang ditetapkan selepas tamat kedua-dua perlawanan itu bermakna dia serta Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF) dijangka berdepan tindakan daripada FIFA.
Selepas kemenangan ke atas Denmark, kapten Perancis, Hugo Lloris bercakap kepada media bersama Aurelien Tchouameni, Antoine Griezmann, Jules Kounde, Olivier Giroud, Dayot Upamecano dan Raphael Varane tetapi Mbappe berjalan terus tanpa berhenti.
FFF sudahpun diberi amaran selepas Mbappe tidak hadir pada sesi temu bual selepas kemenangan ke atas Australia mereka akan dikenakan tindakan jika pemain itu mengulangi perkara sama.
Menurut akhbar Daily Mirror, penyerang licik itu enggan berhenti dan bercakap dengan media di zon campuran kerana bimbang akan ditanya mengenai masa depannya bersama PSG.
Laporan itu seterusnya mengatakan, jika didenda, FFF dan Mbappe akan berkongsi membayar sejumlah wang yang diminta oleh FIFA.
Begitupun apa yang membimbangkan mereka adalah jika badan induk bola sepak dunia itu mengenakan larangan beraksi terhadap pemain tersebut. – AGENSI
Baca: Lelaki Malang dihempap kereta ketika mencuri ekzos