400 burung berjaya diselamatkan dari ditelenggami banjir – Seorang peniaga burung menghela nafas lega apabila berjaya menyelamatkan lebih 400 ekor unggas pelbagai jenis daripada menjadi mangsa banjir.
Mohd Hirwan Rajiun, 41, mengambil iktibar daripada bah yang melanda Februari lalu, apabila kerugian RM10,000 selepas kesemua burung miliknya mati kelemasan kerana ditenggelami banjir sebelum ini.
Katanya, kali ini dia sempat mengalihkan sangkar ke tempat yang lebih tinggi kerana khuatir paras air meningkat
dengan mendadak dan menyukarkan dia untuk menyelamatkan kesemua burung di kedai miliknya.
“Walaupun sudah dialihkan ke tempat lebih tinggi, saya masih lagi keresahan kerana air dilihat semakin meningkat, kemungkinan besar perlu dipindahkan semula ke tempat lebih tinggi.
“Antara burung yang ada ialah burung merbah jambul, merbuk, tekukur dan puyuh. Bagaimana pun, akibat cuaca yang sejuk, masih ada beberapa ekor burung yang mati setiap hari.
“Saya sendiri masih di rumah untuk memantau keadaan burung berkenaan selain bersiap sedia mengalihkanya ke tempat lain jika bah dilihat semakin teruk,” katanya ketika ditemui di kedai burung miliknya di Kampung Tersang, di sini, semalam.
Mohd Hirwan berkata, jika diikutkan, kedai burung miliknya berada di tempat tinggi, namun apabila penempatan itu mula dilanda bah besar sejak beberapa tahun lalu, kedainya turut terjejas.
“Paras air mencecah lebih dua meter di kawasan ini, yang bukan sahaja menggenangi kedai saya malah hampir menenggelamkan kediaman kami sekeluarga. Jadi, setiap kali musim tengkujuh kami memang berada dalam keadaan berwaspada.
“Kesemua ahli keluarga lain sudah dipindahkan ke tempat selamat termasuk ibu saya yang sudah berusia kerana risau akan keselamatan diri. Tambahan pula, jika paras air semakin tinggi, sukar untuk kami keluar ke tempat selamat,” katanya.
Mohd Hirwan berharap, banjir yang melanda segera surut supaya dapat kembali berniaga seperti biasa selain bimbang akan keadaan rumah yang sudah beberapa hari digenangi banjir.
BACA : Wanita m4ut ‘dilanyak’ gajah di Pahang
Melampau! Buku Teks Dong Zong ajar perempuan jadi Imam solat bersama lelaki