Hadi Awang layak jadi ketua pembangkang sebab ada pengalaman – Zuhdi. Seorang pemimpin PAS menolak pandangan penganalisis politik kononnya Presiden Abdul Hadi Awang tidak sesuai diangkat sebagai ketua pembangkang di Dewan Rakyat atas alasan tidak mempunyai “kepintaran”.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Zuhdi Marzuki, berkata Hadi mempunyai kelebihan dan pengalaman politik malah Ahli Parlimen Marang itu pernah menjadi ketua pembangkang pada 2002 hingga 2004.
Zuhdi bagaimanapun berkata, soal siapa ketua pembangkang akan diputuskan pucuk pimpinan Perikatan Nasional (PN), sama ada Hadi atau Muhyiddin Yassin kedua-duanya berkelayakan dan mempunyai pengalaman politik menjadi ketua kerajaan.
“Kedua-dua Muhyiddin dan Hadi ada kelebihan dan pengalaman masing-masing. Muhyiddin pernah jadi perdana menteri dan Hadi pernah jadi menteri besar. Jadi tidak berbangkit siapa lebih layak,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, berdasarkan amalan biasa ketua gabungan akan dipilih sebagai ketua pembangkang.
Namun, katanya Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob juga pernah dilantik sebagai ketua pembangkang sedangkan beliau bukan pengerusi BN ketika itu.
“Jadi saya yakin PN boleh selesaikan perkara ini dengan baik,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari, berkata soal siapa ketua pembangkang di Dewan Rakyat daripada PN sudah diputuskan dalam mesyuarat gabungan berkenaan beberapa hari lalu dan ia tidak lagi berbangkit.
Turut memaklumkan perkara sama, Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin yang memaklumkan pengumuman siapa ketua pembangkang akan dibuat bila tiba waktu sesuai.
Terdahulu penganalisis politik berkata, Muhyiddin yang juga pengerusi PN lebih sesuai menjadi ketua pembangkang di Dewan Rakyat bukannya Hadi.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, Hadi tidak mempunyai “kepintaran” untuk menjadi ketua pembangkang.
Manakala James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania berkata, beliau meragui kemampuan Hadi menjadi ketua pembangkang kerana masalah kesihatannya.- FMT
Baca: Video ini bukti Hadi Awang anggap Anwar bekas banduan yang tidak layak menjadi PM
“Betul ke Hadi Awang ini beriman?” Wanita ini selamba ‘tibai’ Presiden PAS
Tiada lagi hobi memancing ikan kini hobi Hadi Awang memancing undi pula