Puluhan ribu orang di Dhaka desak Perdana Menteri letak jawatan – Ibu kota Bangladesh, Dhaka, lumpuh dengan polis antikeganasan diletakkan dalam keadaan siap siaga ketika puluhan ribu penyokong parti pembangkang berarak untuk mendesak Perdana Menteri, Sheikh Hasina meletak jawatan dan pilihan raya diadakan, lapor akhbar Arab News.
Protes kelmarin adalah yang terbesar di Bangladesh sejak 2009 apabila kerajaan pimpinan parti Liga Awami berkuasa. Ia berlaku di tengah-tengah ketegangan yang meningkat selepas pasukan keselamatan menembak sebilangan aktivis di luar ibu pejabat Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) awal minggu ini, menyebabkan seorang maut dan puluhan lagi cedera.
Penunjuk perasaan berkumpul di padang sukan Golapbagh, selatan Dhaka kelmarin. Sehari sebelumnya, aktivis-aktivis BNP mengumumkan bahawa mereka menjangkakan sekitar 200,000 orang akan mengambil bahagian.
“Ia merupakan lautan manusia. Kerajaan cuba menggagalkan demonstrasi ini dengan pelbagai cara termasuk menyekat pergerakan bas-bas di lebuh raya serta perkhidmatan bas bandar turut dihentikan.
“Saya berharap agar kerajaan menyedari keadaan ini. Jika kerajaan menerima mesej perarakan besar-besaran ini dan berundur daripada kuasa, ‘kerosakan’ mungkin hanya minimum,” kata Naib Pengerusi BNP, Shamsuzzaman Dudu.
Menurut Shamsuzzaman, parti tersebut menuntut 10 permintaan dengan matlamat untuk mengembalikan semula demokrasi semasa perhimpunan tersebut termasuk pengunduran kerajaan, pembubaran Parlimen, pembentukan kabinet sementara yang berkecuali dan pengguguran semua kes terhadap ahli dan pemimpin BNP yang ditahan baru-baru ini.
Sejak BNP mengumumkan penganjuran perhimpunan itu, polis telah meningkatkan kawalan keselamatan dengan mengerahkan tambahan 30,000 anggota di jalan-jalan serta mewujudkan lebih 12 pusat pemeriksaan di seluruh Dhaka.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Metropolitan Dhaka bagi media, Faruk Hossain memberitahu Arab News bahawa Pasukan Taktikal dan Senjata Khas (SWAT) dan pasukan antikeganasan berada dalam mod berjaga-jaga.
“Kami telah mengambil segala langkah yang perlu untuk mengekalkan undang-undang dan ketenteraman awam,” jelasnya.
Hasina telah menolak gesaan agar beliau meletak jawatan dan mengumumkan Rabu lalu bahawa pilihan raya umum hanya akan diadakan pada Januari 2024.
Beliau dipilih semula sebagai Perdana Menteri Bangladesh untuk penggal ketiga berturut-turut pada 2018 dengan terdapat tuduhan meluas peniupuan undi berlaku dalam pilihan raya umum berkenaan.
BACA : Ahli Parlimen Baling Azeez Abdul Rahim bebas tuduhan rasuah
Melampau! Buku Teks Dong Zong ajar perempuan jadi Imam solat bersama lelaki
Kesian, wanita hanya makan sushi tetapi netizen buat komen ‘double-meaning’