Terbangun Untuk Buang Air, Sempat Selamatkan Mangsa Kebakaran – “Kalau saya tidak terbangun untuk buang air, mungkin ada kejadian lebih buruk berlaku,” kata Apis Omar, 70, seorang penghuni lima rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Pulo Ulu, Petra Jaya, di sini, awal pagi tadi.
Apis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.15 pagi itu semua penghuni lima rumah terbabit nyenyak tidur dan ketika itu juga hujan renyai-renyai.
Menurutnya, ketika memasuki tandas, beliau menyedari api sedang marak di sebuah rumah jirannya yang terletak di tebing Sungai Sarawak.
“Saya tergamam seketika, tetapi mujurlah saya cepat menyedari kebakaran sedang berlaku di rumah itu dan saya menjerit sekuat hati mengejutkan ahli keluarga saya.
“Selepas itu saya keluar dan menjerit mengejutkan penghuni rumah yang sedang terbakar itu,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Apis berkata, sebaik semua penghuni keluar, api marak dengan cepat hingga memusnahkan semua lima rumah itu yang kedudukan agak rapat antara satu dengan yang lain.
“Dalam rumah saya sahaja ada seramai 15 orang termasuk lima kanak-kanak… syukurlah, kami semua selamat walaupun semua barangan kami musnah,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Suhaili Omar, 77, pula berkata, beliau yang sedang nyenyak tidur dikejutkan oleh isterinya selepas terdengar jeritan penghuni lain.
“Mujurlah ahli keluarga memapah saya keluar dengan segera kerana api marak dengan cepat dari satu rumah ke satu rumah hingga memusnahkan semua lima rumah kami.
“Memang sayu perasaan melihat rumah yang saya diami sejak kecil itu musnah di depan mata,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Mohamad Nasyir Apis, 31, pula berkata, ketika kejadian beliau berada di rumah mentuanya di kampung berdekatan.
“Biasanya pada hujung minggu saya ke rumah mentua dan menaiki motosikal ke sana manakala kereta saya tinggalkan di rumah.
“Saya bergegas balik selepas menerima panggilan daripada abang dan sebaik sampai di rumah, luluh hati melihat rumah termasuk kereta saya sudah musnah,” katanya.
Kejadian itu menyebabkan 33 penghuni lima rumah terbabit tinggal sehelai sepinggang selain sebuah kereta serta empat motosikal turut musnah.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.46 pagi.
Beliau berkata, seramai 29 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya, BBP Tabuan Jaya dan BBP Kuching diarah ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.
Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenalpasti punca kejadian itu.
Baca : [Video] Pasangan Suami Isteri musnahkan Masjid angkara marah
Wanita m4ut ‘dilanyak’ gajah di Pahang
Kesian, wanita hanya makan sushi tetapi netizen buat komen ‘double-meaning’