“Dulu pun saya dicabar. Dua orang cabar saya…”- Ahmad Zahid – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau terbuka untuk dicabar oleh sesiapa sahaja yang berhasrat untuk memegang jawatan nombor satu parti itu pada pemilihan parti akan datang.
Tegasnya, sebelum ini beliau juga pernah dicabar dalam pemilihan pada 2018, namun kedua-dua pencabarnya gagal memperolehi undi yang banyak.
“Dulu pun saya dicabar. Dua orang cabar saya. Undi kedua-dua orang yang mencabar saya itu masih belum sama dengan undi yang saya perolehi.
“Bukan saya riak tapi itu sudah terbukti pada 2018. Malah, kombinasi undi kedua-duanya itu sangat kurang berbanding dengan undi yang saya perolehi.
“Bukan riak, bukan sombong, bukan takbur, bukan ujub,” katanya pada sidang media Majlis Amanat Tahun Baharu 2023, di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada pertandingan untuk jawatan nombor satu dan dua UMNO akan dibuka untuk dipertandingkan dalam pemilihan kali ini.
Pada Pemilihan UMNO 2018, Ahmad Zahid diangkat sebagai Presiden selepas Datuk Seri Najib Razak melepaskan kedudukan itu dan mengalahkan pencabarnya.
Ahmad Zahid memperoleh 93 undi, menewaskan empat pencabar termasuk Ketua Pemuda UMNO yang juga Ahli Parlimen Rembau ketika itu, Khairy Jamaluddin yang mendapat 51 undi dan veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah selaku Ahli Parlimen Gua Musang memperoleh 23 undi.
Dua lagi pencabarnya yang kurang dikenali iaitu ahli UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Mohamed Iqbal Maricair dan ahli UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Mohd Yusof [email protected], gagal memperoleh sebarang undi.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan, kuasa untuk menentukan kepimpinan parti terletak kepada kuasa dan suara perwakilan parti di seluruh negara.
“Saya mempunyai pendirian bahawa kuasa untuk menentukan kepimpinan terletak pada kuasa dan suara perwakilan di seluruh negara.
“Terdapat hampir 160,000 perwakilan yang mewakili cawangan untuk menentukan sama ada kepimpinan sedia ada atau pun kepimpinan yang berubah, untuk kita pastikan bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) terus relevan dalam pentas politik negara.
“Maka kuasa mutlak itu adalah kuasa perwakilan,” katanya.
Setakat ini, UMNO bagaimanapun masih belum mengumumkan tarikh untuk mengadakan pemilihan parti itu.
Minggu lalu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO dipertandingkan atau tidak, biarlah perwakilan yang menentukannya.
Bercakap dalam program bual bicara bertajuk Rekonsiliasi Politik – Apa Untung Pada Negara, Presiden UMNO itu dilaporkan mengakui beliau seorang yang demokratik.
Isnin lalu, Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak perlu dipertandingkan sebaliknya parti itu perlu fokus kepada usaha pengukuhannya selain mengembalikan semula kepercayaan rakyat.
“Baik kita fokus kepada macam mana nak kukuhkan kembali UMNO dan mengembalikan semula kepercayaan rakyat selepas parti difitnah teruk selama ini,” katanya.
Kelmarin pula, Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Yusof Ismail berkata UMNO berisiko berdepan mudarat lebih besar jika menyekat demokrasi dalam parti itu dengan menghalang dua jawatan tertinggi parti daripada dipertandingkan.
Katanya, alasan memelihara kestabilan yang digunakan pihak tertentu bagi menyekat pertandingan jawatan presiden dan timbalan presiden, tidak berasas dan ‘memualkan’.
Pada sidang media semalam, Ahmad Zahid juga ditanya sama ada parti itu akan menjemput mana-mana parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU2022) minggu depan dan beliau menjelaskan bahawa UMNO mengambil pendirian untuk tidak berbuat demikian.
PAU2022 asalnya dijadualkan berlangsung pada 21 hingga 24 Disember lalu tetapi ditangguhkan kepada 11 hingga 14 Januari ini.